Selasa, 27 Mac 2012

Sentiasa berasa CUKUP

Qana’ah
Qana’ah maksudnya menerima cukup atau sentiasa berasa cukup. Daripada sudut bahasa pula bermaksud sikap berasa cukup, redha atau puas atas kurnia dan rezeki yang diberikan Allah. Qana’ah mengandungi 5 perkara:-
1. Menerima dengan rela akan apa yang ada
2. Memohon kepada Allah tambahan yang patut dan berusaha
3. Menerima dengan sabar akan ketentuan tuhan
4. Bertawakal kepada Allah
5. Tidak tertarik oleh tipu daya dunia
Orang yang memiliki sifat Qana’ah disifatkan Rasulullah saw memiliki kekayaan jiwa seperti sabdanya “Bukankah kekayaan itu lantaran banyaknya harta, kekayaan ialah kekayaan jiwa” Setelah payah para cerdik pandai mencari erti kekayaan yang sebenarnya dan akhirnya mereka bersetuju bahawa orang kaya ialah orang yang sedikit keperluannya.
Oleh qana’ah akan menyebabkan seseorang berasa cukup dengan apa yang ada, tidak terlalu tamak dan cemburu, bukannya orang yang berterusan meminta lebih kerana kalau masih meminta tandanya masih miskin. Sabda Rasulullah “Qana’ah itu adalah harta yang tidak akan hilang dan simpanan yang tidak akan lenyap” (diriwayatkan oleh Thabrani dari Jabir)
Namun begitu Qana’ah bukanlah beerti menerima sahaja apa yang ada sehingga tiada ikhtiar yang akhirnya mengakibatkan termasuk dalam golongan yang ketinggalan, tidak produktif dan mundur. Hakikatnya Qanaah mengajar kita bersyukur dan dengan rezeki kurniaan Allah. Sifat qanaah perlu dimiliki oleh orang kaya atau miskin, kerana sifat qanaah iaitu merasa cukup dengan pemberiaan Allah, tidak tamak terhadap apa yang dimiliki manusia, tidak iri hati melihat apa yang ada di tangan orang lain, dan tidak rakus mencari mencari harta benda dengan menghalalkan segala cara, sehingga dengan semua itu akan membuat orang merasa puas dan tidak mencari melebihi apa yang diperlukan dan mencegah orang lain menurut hawa nafsu yang tidak pernah puas.
Rasulullah bersabda “Jadilah kamu seorang yang wara’, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati” (Hadis riwayat Baihaqi)
Rasulullah adalah orang yang paling qanaah dan sebaik-sebaik manusia namun masih meminta agar diberikan qanaah dengan doa baginda “Ya Allah berikan aku sikap qanaah terhadap aapa yang engkau rezekikan kepadaku, berkatilah pemberian itu dan gantilah segala yang luput (hilang) dariku dengan yang lebih baik.”
Manusia sememangnya tidak pernah rasa cukup. Sebuah hadis jelas menggambarkan tabiat manusia seperti ini: Jika seorang anak Adam memiliki emas sepenuh dua lembah sekalipun maka dia akan (berusaha) mencari lembah yang ketiga. Perut anak Adam tidak akan berasa puas sehinggalah dipenuhi dengan tanah. (Riwayat Bukhari). 
Membudaya sifat qanaah dalam diri tidak pula bermakna Islam menyuruh golongan fakir miskin berpuas hati dengan taraf hidup yang rendah dan hina. Ia juga tidak bermakna bahawa kita harus berhenti mencari kekayaan yang halal, penghidupan yang baik serta kehidupan yang berkecukupan.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sendiri pernah meminta kekayaan dan ketakwaan daripada Allah sebagaimana doa yang diriwatkan oleh Muslim dengan lafaz: “Ya Allah, aku memohon ketakwaan, petunjuk, kemuliaan dan kekayaan kepadamu”. Baginda juga pernah mendoakan sahabat Anas bin Malik dengan doa berikut: “Ya Allah perbanyakkanlah hartanya.” (Riwayat Bukhari).
Yang penting kekayaan yang ingin dikecap mestilah dengan cara yang halal tanpa mencetuskan penindasan kepada orang lain. Keghairahan untuk jadi kaya juga tidak wajar melarat-larat sampai menimbulkan kemudaratan hingga mencairkan kekentalan iman dan memecah keterikatan kepada hukum.
Apa yang pasti sifat qanaah akan mewujudkan pola kehidupan sederhana dan menghindari gaya hidup berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan. Biasanya gaya hidup bermewah-mewahlah yang mendorong pelbagai perilaku songsang hingga tidak lagi mengenali batasan halal dan haram.
Seterusnya kesedaran bahawa setiap rezeki itu anugerah Allah akan menumbuhkan pula sikap bertanggungjawab dalam membelanjakan harta. Setiap sen akan dibelanjakan dengan cara yang diredai Allah. Kesedaran tentang kekayaan sebagai ujian Tuhan akan menguatkan lagi keyakinan untuk bersifat qanaah dalam pemilikan harta.
Justeru amat penting sekali budaya qanaah ini kembali disemarakkan dalam diri setiap individu agar membentengi diri daripada terjerumus dalam pelbagai skim cepat kaya yang hakikatnya lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.
Kekayaan yang diperoleh secara halal akan menjadikan manusia lebih bertakwa, dilimpahi rahmat dan barakah Allah. Sebaliknya kekayaan yang tidak berasaskan keimanan hingga tercabutnya sifat qanaah dalam diri hanya akan melahirkan manusia-manusia berbudaya foya-foya tetapi pengecut, hilang daya juang dan tidak berani menghadapi risiko. Menggejalanya fenomena sedemikian adalah petanda kehancuran sesuatu umat.
Oleh itu, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri. Kerana maksud qanaah itu sangat luas. Ia menyuruh kita mempercayai bahawa ada kekuasaan yang melebihi kekuasaan kita, menyuruh sabar menerima ketentuan Allah jika ketentuan itu tidak menyenangkan hati dan bersyukur atas segala nikmat yang dipinjamkan Allah kepada kita, sebab nikmat itu akan hilang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

"WANITA YANG BERAQAL DAPAT MENGUBAH SAHARA YANG TANDUS MENJADI TAMAN YANG INDAH LAGI SUBUR."

Subhanallah

Allah tidak melihat bentuk rupa dan harta benda kalian, tapi Dia melihat hati dan amal kalian.