Rabu, 25 April 2012


MENANGIS KERANA TAKUTKAN ALLAH


Rasulullah S.A.W telah bersabda, “Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya.”
Dalam sebuah kitab Daqa’iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.
Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, “Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu.”
Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut.”
Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan.” (Surah al-Jatsiyah ayat 28)
Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, “Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, “Umatku, umatku.”
Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, “Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali.”
Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, “Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W”
Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. “Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya.” Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.
Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. “Wahai Jibril, Apakah air itu?” Maka Jibril berkata, “Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu.” Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.
Telah bersabda Rasulullah S.A.W, ” Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata.”

Jumaat, 13 April 2012

Suara Muslimat

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & Salam atas Baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, redha Alhamdulillah atas ketentuanNya.

Susuk tubuh muslimat itu melangkah dengan penuh yakin bahawa Allah di sisinya. Allah memelihara, Allah memerhati. Namun, ada tikanya tautan hati yang lemah terhadap Allah menjadikan dia mudah tewas dengan pandangan manusia. Letakkan Allah di hatimu, cukup! Allah akan memandu jalanmu wahai para mujahidah.

Langkahan Kaki Muslimat


Ada tikanya muslimat itu ditegur, "jaga langkahan kakimu, kerana hakikatnya engkau ialah muslimat. Tempatmu menjadi pengikut setia para muslimin mujahid di jalan Allah."

Wahai Muslimat, dalam perjuangan peganglah kata-kata bahawa "Itu ialah wanita muda Islam berjalan & dia sangat hebat".

Selagi berpaksikan pada redha Allah. langkahan kaki itu tidak perlu dihentikan untuk meratap sedih menerima teguran manusia. Kita sebagai muslimat hanya perlu berhenti seketika untuk menerangkan "Cukuplah Allah bersamaku, segala langkahan ini untuk redhaNya".

Benar, paksi langkah kaki mu perlu dipimpin oleh para muslimin. Namun, harus diingat bahawa untuk kamu terus istiqomah dalam medan perjuangan, tunjukkan diri kamu yang sebenarnya supaya muslimin yang ingin menyunting kamu sebagai suri hidupnya arif tentang diri kamu & tidak mengharapkan lebih perhatian selepas pernikahan. Isu ini bukan mainan. Inilah yang dibuktikan oleh Serikandi Mulia Zainab Al-Ghazali yang memberi kata dua kepada suaminya sebelum mereka menikah agar perjuangannya tidak terhenti selepas pernikahan. Andai bertemu serentak seruan jihad di jalan Allah & seruan suaminya, dia tidak teragak-agak menyahut seruan Ilahi kerana syahid itu cita-cita tertingginya.

Tegar Prinsip Muslimat


Hati yang penuh kelembutan walau dizahirkan dengan perwatakan tegas berprinsip akan terusik jua dengan pandangan manusia terhadapnya. Tidak kisah lah sama ada pandangan itu dari sahabat atau sahabiah.

"Jangan terlalu terkehadapan, bakal mengundang fitnah nanti"

Jadi, prinsip lillahitaala di hatimu pasakkan semantapnya. Hanya Allah tujuanmu, hanya Allah pemandumu, insyaAllah jalan penuh rintangan & persoalan manusia itu akan diselesaikan baik oleh perancangan Allah itu sendiri. Wanita itu sendiri fitnah akhir zaman, namun jangan dijadikan alasan itu untuk dirimu terus memencilkan diri dalam medan perjuangan.

Tika ada sesuatu yang perlu engkau tegakkan, ke hadapanlah & suarakan kerana Allah di sisimu.
Tika ada sesuatu yang perlu engkau tegahkan, ke hadapanlah & cegahlah kerana Allah di sisimu.
Tika ada sesuatu yang perlu engkau lindungi, ke hadapanlah & lindungi semampumu kerana Allah di sisimu.

Kelembutan Para Muslimat


Wahai Muslimat, kelembutan fitrahmu yang dikurniakan Allah kepadamu bukanlah penghalang dirimu terus maju kehadapan walau di tengah kepesatan muslimin dalam perjuangan. Khadijah r.a, Fatimah Az-Zahra, Aisyah r.a & ramai lagi susuk tubuh serikandi Muslimat menunjukkan fitrah muslimat itu ialah bijak, berani, cekal jiwanya, tegas prinsipnya

Ahad, 1 April 2012

DAKWAH : KEPELBAGAIAN JEMAAH...

Berlainan warna, tetapi tetap sama.

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji dan syukur kita panjatkan buat ALLAH SWT yang telah memberikan segala nikmat yang kita nikmati di saat ini. Semoga di setiap saat dan ketika kita melakukan setiap amal hanya keranaNya demi mensyukuri nikmat-nikmatNya ini.

Dakwah merupakan sesuatu yang wajib buat semua mereka yang mengaku sebagai seorang Muslim. Seorang ulama’ dakwah pernah berkata, “Barangsiapa yang mengatakan tiada tuhan selain ALLAH dan Muhammad itu persuruh ALLAH, maka dia adalah seorang da’ie.” ALLAH telah menegaskan akan tanggungjawab berdakwah ini dengan begitu banyak sekali di dalam Al-Quran. Antaranya :

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung." [Q.S. 'Ali Imran. 3:104]

Kini ramai golongan yang mula menyahut seruan ALLAH ini, terutamanya daripada kalangan remaja, khususnya mahasiswa-mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara. Dan setiap individu pastinya akan cuba untuk menjalankan penyeruan kepada kebaikan (amar ma’ruf) dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) ini dengan cara yang paling diyakininya. Keadaan ini akan menghasilkan variasi gerakan dalam penyeruan  ke jalan yang suci ini. Namun jika tidak dicermati, sesuatu yang baik ini akan kelihatan sebagai sesuatu yang buruk, malah mungkin boleh mencetuskan perpecahan yang tidak kita ingini.
 
Pelbagai warna dengan fungsi yang sama - mewarnai. Cara yang berbeza tetapi matlamat yang sama.


Kepelbagaian Jemaah

Dalam mengharungi kehidupan kampus, kita perlu menyedari akan hakikat bahawa ada ramai pihak yang ingin berjuang untuk menegakkan Islam. Dan setiap daripada mereka mempunyai gerak kerja serta sudut pandang tersendiri dalam cara-cara untuk menyebarluaskan fikrah Islamiah kepada masyarakat.

Ada yang berpandangan dakwah perlu dimulakan dengan mempunyai kuasa, agar kita dapat menguasai masyarakat kampus, lalu dengan kuasa itu kita akan mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik.

Ada yang mengatakan kita perlu terus menerus menceritakan kelebihan amal kebaikan, ganjaran-ganjaran pahala yang bakal diterima atas ibadah yang dilakukan agar masyarakat akan tertarik kepada kebaikan dan dengan sendirinya meninggalkan keburukan.

Ada pula yang berpendapat masyarakat ini perlu ditarbiyah dengan kefahaman islam dengan baik, lalu dengan kefahaman dan pengamalan Islam itu masyarakat akan mengubah kehidupan mereka ke arah kehidupan yang sesuai dengan syariat dan diredhai oleh ALLAH SWT.

Banyak lagi fikrah-fikrah yang kita lihat. Bahkan mereka yang kelihatan mempunyai fikrah yang sama juga kita akan lihat bahawa mereka mempunyai cara mengatur organisasi yang tersendiri. Sehingga kita akan melihat begitu banyak gerakan Islam yang ada. 

Lalu timbullah persoalan,

“Bolehkah banyak-banyak jemaah macam ni? Nanti orang-orang bukan Islam lihat Muslim ini lemah. Nak menegakkan agama sahaja tidak bersatu."

Sebenarnya banyaknya jemaah yang wujud sekarang ini bukanlah sebuah kesalahan ataupun tanda-tanda perpecahan. Banyaknya jemaah ini menandakan ada ramai orang yang ingin menyahut seruan ALLAH ini:



"...oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan..." [Q.S. Al-Baqarah, 2:148]

Masing-masing ingin melakukan perbaikan umat yang terbaik. Mereka yakin dengan jalan perjuangan mereka. Mereka sama-sama ingin menjadi mereka yang paling diredhai ALLAH. Bukankan ini baik?

Berlumba-lumba untuk menjadi Hamba ALLAH & Pejuang Agama yang terbaik.

Menyikapi Kepelbagaian

Untuk menyikapi kepelbagaian jemaah yang ada ini, eloklah kita menelusuri buku Fiqh Al-Ikhtilaf  (Fiqh Perbezaan) pendapat olehSyeikh Yusuf Al-Qaradhwi. Dalam mukaddimah bukunya beliau menulis:
"Hati saya resah jika musuh itu datang dari dalam tubuh kebangkitan Islam itu sendiri. Satu gerakan Islam melancarkan makar terhadap gerakan Islam yang lain.
Saya pun tidak resah bila di dalam tubuh kebangkitan Islam terdapat pelbagai madrasah, kelompok, atau jemaah, yang masing-masing mempunyai manhaj yang tersindiri dalam berkhidmat dan berjuang menegakkan Islam di muka bumi, sesuai dengan sasaran, skala prioriti dan tahapan mereka.
Saya tidak termasuk orang-orang yang bermimpi menginginkan dan menyerukan kepada satu jemaah atau satu gerakan Islam yang akan menghimpun semua aktivis Islam dalam satu sistem dan di bawah satu pimpinan. Terlalu banyak masalah yang merintanginya di samping impian yang memang tidak kena pada tempatnya.”
(Fiqh Ikhtilaf, Mukaddimah, m/s 10)
Seperti yang dinukilkan oleh beliau, setiap jemaah mempunyai gerak kerja dan strategi dakwah yang cukup berbeza malah cara menguruskan organisasi yang tersendiri. Bagaimana kita mengharapkan mereka ini dapat berkerja dalam satu organisasi dengan satu ketua?

Sikap yang perlu ada dalam menanggapi kepelbagaian :
Warna yang berbeza akan melakarkan warna yang indah.


1.   Menerima konsep kepelbagaian jamaah Islamiyyah.

Kepelbagaian jemaah tidak akan menjadi masalah apabila semua pihak  mampu menyikapi perbezaan ini dengan baik. Kita perlu mengiktiraf akan adanya kepelbagaian jemaah dan mereka itu memang ‘layak’ untuk wujud. Masalah akan muncul apabila ada individu-individu atau mana-mana pihak menjadi taksub dan fanatik akan jemaahnya sendiri sehingga menikam dan mengecam orang lain yang bukan daripada jemaahnya. Hanya dia yang benar, yang lain salah dan tidak perlu wujud. Semua perlu menyertainya.

“Kami yang paling awal ada di sini. Kamu masuk tidak ketuk pintu!”

Jadi, jika kamu yang paling awal berdakwah di sini, maksudnya tidak boleh orang lain berdakwah sama? Orang yang sudah punya cara gerak kerja yang diyakininya hanya boleh duduk diam dan tidak berdakwah? Semua orang perlu menyertai kamu walaupun tidak setuju dengan kamu? Adilkah sedemikian?

Sahabatku, janganlah bersikap seperti ini. Fenomena ini hanya menambahkan bilangan musuh dalam berjuang. Tawarkan sahaja kelebihan yang ada pada kita, dan biarkan orang lain memilih yang mana sesuai dengan caranya. Bayangkan jika kita yang menjadi pemula baru bagi fikrah dakwah yang kita bawa di tempat kita. Kita amat meyakini cara kita, tetapi kita dipaksa untuk mengikuti gerakan lain yang kita tidak yakin dengan cara perjuangannya. Mahukah kita? Terimalah mereka seadanya.

Mulakan perubahan dengan menerimanya.

2.  Menghormati di antara satu sama lain dan menjauhkan prasangka buruk.

“Dia rampas mad’u ana!” seorang yang berkopiah mengeluh.

“Ana yang mula-mula dekati adik tu.” Kata seorang wanita bertudung labuh.

“Ana harap enta tidak ‘mengganggu’ adik-adik yang telah bersama dengan jemaah kami. Mereka semua sudah berkomitmen dan bersedia untuk ditarbiyah bersama-sama jemaah kami.” Kata presiden sesebuah jemaah kepada presiden jemaah yang lain.

Sebenarnya saya mahu tergelak mendengar perbualan-perbualan ini. Bayangkan jika adik-adik yang kononnya ‘ditarik’ daripada jemaah mereka itu berada di hadapan, adakah anda mahu berkata-kata seperti itu?

Ketahuilah pintu dakwah adalah Al-Fahmu, yakni kefahaman. Seseorang yang sudah faham dan yakin dengan ideologi pergerakan serta perjuangan sesebuah gerakan dakwah itu sudah pasti akan menyokongnya tanpa berbelah bahagi. Terjadinya fenomena ‘Lompat Jemaah’ ini adalah kerana kurangnya akan kefahaman yang diberikan. Jadi salahnya bukanlah pada jemaah yang menjadi pilihan mad’u kita itu, tetapi diri kita sendiri. Bersangka baiklah kepada mereka dengan merasakan bahawa kita masih belum mampu memberi pemahaman baik kepadanya, lalu dia memilih gerakan yang menurutnya lebih baik.

Ketidakfahaman membawa kepada keraguan.

Saya sering mengatakan kepada mad’u-mad’u saya yang bertanya tentang banyaknya jemaah yang ada dan bolehkah jika ingin mengikut jemaah mereka?
“Antum semua tahu di Malaysia ini ada macam-macam jemaah. Ada PAS, JIM (IKRAM), ISMA, ABIM, TABLIGH, HALUAN, PEMBINA, KARISMA dan macam-macam lagi. Semua mereka tu baik sebab mereka berdakwah untuk mengajak manusia mendekati ALLAH.
“Tetapi ana tidak bersama dengan mereka sebab ana cuba untuk memperbaiki umat dengan cara yang terbaik. Ana tidak kisah anak halaqoh nak ikut mana-mana jemaah yang ada, tetapi ana akan cuba meyakinkan mereka bahawa jalan yang ana tempuhi ini adalah jalan yang terbaik untuk mereka menjaga iman mereka serta menggerakkan dakwah.

“Jika mereka tidak mahu memilih untuk bersama dengan ana, ana akan menganggap mereka memang tidak ditakdirkan untuk berada dalam jalan yang ana pilih ini dan ana akan terus berdakwah kepada orang lain dengan cara yang sama.”
Lalu ada yang berkata, “Wah, sombongnya, macam jemaah dia yang paling baik!”

Maafkan saya, bagi saya ini bukanlah suatu kesombongan, tetapi berfikir secara rasional. Apakah rasionalnya anda untuk bersama dengan gerakan yang anda ikuti sekarang tetapi anda tidak yakin bahawa gerakan anda sedang melakukan yang terbaik?Lebih baik anda tinggalkan gerakan itu dan ikut mana-mana gerakan yang anda rasa lebih baik.

Kefahaman yang benar membentuk fikrah yang tidak tergoyahkan!

Meyakini bahawa jemaah kita adalah jemaah yang terbaik adalah sesuatu kewajaran. Namun kemudiannya mengaku kepada semua bahawa jemaah kitalah yang terbaik mengatasi jemaah-jemaah lain adalah suatu tindakan yang berlebih-lebihan.

Islah nafsak wad'u ghairak.

Wahai Pendakwah, Sedarlah!

Sedarlah, banyaknya jemaah yang muncul sebenarnya memudahkan urusan kita. Semakin banyak pilihan yang boleh diikuti oleh masyarakat sebelum mereka terjebak dalam kerosakan moral yang jauh lebih membimbangkan. Jika mereka tidak bersama kita, maka dia boleh bersama dengan sesiapa sahaja yang memperjuangkan Islam. Jika setiap pendakwah bersikap seperti ini, nescaya akan lahirlah generasi baru dalam umat ini. Generasi pendakwah yang semuanya bersama-sama berusaha dengan matlamat yang sama. Kita tetap bersama dalam penyatuan matlamat.

Sedarlah, tugas kita adalah untuk memperbaiki umat. Umat kini sedang berada di ambang kerosakannya. Hampir setiap hari kita boleh membaca kisah-kisah yang mengaibkan masyarakat kita di dalam surat khabar. Bahkan menjadi sesuatu yang pelik jika dalam seminggu tiada kisah bayi yang dibuang ke tong sampah mahupun di jalanan. Keruntuhan akhlak dan moral bertambah bagaikan cendawan di musim hujan.

Lalu apakah yang kita lakukan? Sibuk menyalahkan antara satu sama lain? Lalu umat terus tenggelam dalam kegelapan jahiliyah yang tidak berkesudahan. Di mana kita untuk menghulurkan tangan menyelamatkan mereka?
 
 Amar makruf Nahi Munkar!!!

Kesimpulan : Jadilah Doktor Kepada Umat.

Berdakwahlah bagaikan doktor. Doktor yang diamanahkan dengan negara yang penuh dengan pesakit-pesakit yang kronik. Sudah pasti kita tidak mampu menyelamatkan kesemua pesakit-pesakit itu. Dan kita perlukan bantuan doktor-doktor lain, meskipun mereka tidak sama tempat belajarnya dengan kita dahulu, dan tidak sama teknik pengubatan yang digunakan. 

Jika pesakit yang ingin kita ubati telah diuruskan oleh doktor yang lain, biarkan sahaja. Masih ramai pesakit yang memerlukan bantuan kita. Tidak kisah siapa yang mengguruskan mereka, yang penting mereka semua dapat diselamatkan.

Tidak mungkin kita akan bergaduh dengan doktor yang lain semata-mata berebut seorang pesakit. Fahamilah keadaan masyarakat. Masih ramai yang perlu diselamatkan. Masih ramai.

Marilah menjadi doktor yang baik kepada umat!

Basuh dulu...

Hukum asal makan roti canai telor dan murtabak adalah harus. Apa yang menimbulkan masalah ialah apabila penebar roti canai atau murtabak, tidak membasuh telur yang digunakan. Ini kerana tempurung telur yang tidak dibasuh mengandungi najis (bercampur tahi ayam). 

Apabila penebar roti canai tadi memegang telur yang tidak dibasuh tadi, menyebabkan tangan penebar tadi bernajis, dan terus menggaulkan dengan tepung, dan secara langsung telah menggaul najis dalam roti canai ataupun murtabak.


Dinasihatkan juga kepada ibu tukang masak dan sesiapa sahaja, apabila hendak menggunakan telor dalam masakan, hendaklah membasuh telor terlebih dahulu. Perkara ini sangat penting kerana makanan akan menjadi darah daging kita, jika darah daging kita dari sumber yang haram maka menyebabkan hati jadi gelap, malas buat ibadah, anak-anak menjadi nakal, mudah melakukan perkara yang dilarang agama, doa tidak diterima dan banyak lagi kesan makan dari sumber yang haram.


Dalam sebuah kisah yang terkenal. Suatu hari Saad bin Abi Waqqas bertanya kepada Rasulullah,
“Ya Rasulullah, doakan aku kepada Allah agar aku dijadikan Allah orang yang makbul doanya.”

Rasulullah menjawab: Hai Sa’ad! Baguskanlah makanan engkau nescaya adalah orang yang) diperkenankan permintaan, dan demi (Allah) yang diri Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan haram ke perutnya, tiada diterima Allah amalannya empat puluh hari (Riwayat Tobroni).

Dalam hadis yang lain Rasulullah saw telah bersabda: "setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka nerakalah yang lebih layak baginya (Riwayat Tirmizi)". Pastikan makanan kita bersih dan suci.

Semoga info bermanfaat ini dapat disebarkan pada kawan2 yang membuka restoran atau kedai makan supaya dapat menghindari perkara di atas...

Insya Allah...

HALANGAN IBU & KEWAJIPAN MENYERTAI JEMAAH ISLAM

Dalam Surah Luqman ayat 14-15 Allah menerangkan:
Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu. 



Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Mus'ab Umair hidup didalam sebuah keluarga yang kaya-raya
Mus'ab menjadi kesayangan bondanya
Pakaiannya mewah sekali, disaluti pula dengan haruman-haruman yang terbaik kualiti
Apabila seruan Islam yang datang daripada Rasulullah saw menawan hatinya, bonda Mus'ab menjadi penentang utama keislaman beliau dan berkeras agar Mus'ab kembali kepada agama kafir Makkah.
Mus'ab yang sejak lahirnya diulit kemewahan dan kasih sayang ibu yang teramat dengan bulat hati memilih Islam.
Saad Bin Abi Waqas turut mengalami halangan daripada ibunya tatkala memilih Islam sebagai agama:
Ketika ibuku mengetahui aku masuk Islam, dia marah bukan kepalang. Padahal aku anak yang berbakti dan mencintainya. Ibu memanggilku dan berkata: “Hai Saad! Agama apa yang engkau anut, sehingga engkau meninggalkan agama ibu bapakmu? Demi Allah! Engkau harus meninggalkan agama barumu itu! atau aku mogok makan minum sampai mati…! Biar pecah jantungmu melihatku, dan penuh penyesalan karena tindakanmu sendiri, sehingga semua orang menyalahkan dan mencelamu selama-lamanya.”

Jawabku: “Jangan lakukan itu, Bu! Tetapi aku tidak akan meninggalkan agamaku biar bagaimanapun.”

Ibu tegas dan keras melaksanakan ucapannya. Beliau benar-benar mogok makan minum. Sehingga tubuh dan tulang-belulangnya lemah, menjadi tidak berdaya sama sekali. Terakhir, aku mendatangi ibu untuk memujuknya supaya dia mau makan dan minum walaupun agak sedikit. Tetapi ibu memang keras. Beliau tetap menolak dan bersumpah akan tetap mogok makan sampai mati, atau aku meninggalkan agamaku, Islam.

Aku berkata kepada ibu: “Ibu! Sesungguhnya aku sangat mencintai ibu. Tetapi aku lebih cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah! Seandainya ibu memiliki seribu jiwa, lalu jiwa itu keluar dari tubuh ibu satu per satu (untuk memaksaku keluar dari agamaku) sungguh aku tidak meninggalkan agamaku karenanya.”

Tatkala ibu melihatku bersungguh-sungguh dengan ucapanku, dia pun mengalah. Lalu dia menghentikan mogok makan sekalipun dengan perasaan terpaksa.

Maka Allah SWT menurunkan firman-Nya kepada Nabi Muhammad SAW:
“Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik,” 


Solat Zuhor, Asar, Maghrib, Isha' , Subuh merupakan kefarduan kepada umat Islam
Sekiranya seorang seorang ibu menghalang anaknya menunaikan solat fardu tersebut, maka menjadi kewajipan si anak untuk membantah arahan ibunya.
Sama halnya dengan kewajipan berdakwah dengan menyertai jemaah Islam, ia merupakan suatu kewajipan yang wajib ditunaikan umat Islam selagimana tidak tertegaknya sebuah pemerintahan Islam.



Maknanya: Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman RA katanya: Manusia sering bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan?

Rasulullah menjawab: Ya.

Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu?

Rasulullah manjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan.                                          Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu?

Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak mengenalinya.

Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu?

Rasulullah menjawab: Ya, ketika ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke neraka jahannam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam neraka itu.

Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami.

Rasulullah manjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita.

Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu?

Rasulullah menjawab dengan bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jemaah Islam dan pemimpin mereka.

Aku bertanya lagi: Bagaimanakah sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin?

Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah  memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.
Hadis diatas menerangkan kepada kita akan kewajipan menyertai jemaah Islam
Suruhan ini wajib dilaksanakan apatah lagi dengan sudah tertubuhnya jemaah Islam di Malaysia sejak lama dahulu
Tidak perlu kita bersusah payah menubuh satu jemaah Islam, atau usahlah kita menyembunyikan diri kehutan dan memakan akar-akar kayu...renungilah
"WANITA YANG BERAQAL DAPAT MENGUBAH SAHARA YANG TANDUS MENJADI TAMAN YANG INDAH LAGI SUBUR."

Subhanallah

Allah tidak melihat bentuk rupa dan harta benda kalian, tapi Dia melihat hati dan amal kalian.